LOKASI

Daerah Kecil Oya terletak di kawasan Daerah Dalat, Bahagian Mukah, Sarawak. Daerah Kecil Oya terletak kira-kira 20 KM dari Pekan Dalat dan kira-kira 25 KM dari Bandar Mukah. Daerah Kecil Oya merupakan kawasan persisiran pantai dan berkeluasan 147.47 KM persegi. Terdapat 10 buah kampung di Daerah Kecil Oya iaitu Kampung Penat Oya, Kampung Kuala Hilir Oya, Kampung Tengah Oya, Kampung Boom Oya, Pasar Oya, Kampung Senau Oya, Kampung Bakong Oya, Kampung Patok Oya, Kampung Terus Oya, dan Kampung Teh Oya.

 

POPULASI PENDUDUK

Penduduk Daerah Kecil Oya ini terdiri dari masyarakat Melanau, Iban, Cina, Melayu serta beberapa etnik lain, dan seramai 95 peratus dari jumlah penduduk Daerah Kecil Oya merupakan dari etnik Melanau. Kira-kira terdapat seramai 4, 732 penduduk yang mendiami Daerah Kecil Oya sehingga kini. Penduduk Daerah Kecil Oya ini menjadikan sektor perikanan, pertanian, pertukangan, dan perniagaan sebagai sumber pekerjaan yang utama. Ini berikutan sumber semula jadi yang terdapat di Daerah Kecil Oya sendiri memain peranan dalam menentukan pekerjaan penduduk Daerah Kecil Oya. Selain itu, terdapat juga penduduk yang melibatkan diri dalam sektor pendidikan, pertahanan, serta perkhidmatan.

 

AHLI PARLIMEN / ADUN KAWASAN

Berdasarkan maklumat diperolehi dari Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Daerah Dalat, Mukah, Sarawak ialah YB Datin Hajah Fatimah Abdullah. 

Daerah Dalat telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah pada 2 April 1974 yang merangkumi kawasan seluas 2210.1 km persegi. Bermula tahun 1974 hingga 28 Februari 2002, daerah ini terletak di bawah pentadbiran Bahagian Sibu. Pentadbiran daerah pada masa itu meliputi kawasan Oya hingga ke Ulu Pakoh iaitu Oya, Dalat Proper, Nanga Baoh, Nanga Tamin, Stapang, Skim Sekuau dan Nanga Pakoh. Ketika itu daerah Dalat mempunyai empat buah pekan, 23 buah kampung dan 115 buah rumah panjang.

Namun pada 1 Mac 2002, setelah Mukah diisytiharkan menjadi bahagian ke-10 di Sarawak, daerah ini telah diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Mukah yang meliputi kawasan seluas 905.29 km persegi. Ia meliputi kawasan dari Kampung Penat hingga ke Oya, Muara Sungai Kut hingga ke Ulu Baoh yang mempunyai tiga pekan, 23 buah kampung dan 22 buah rumah panjang.